Soalan: Berdasarkan ketiga-tiga zaman, buat perbandingan seperti yang berikut.
6). Kritik sosial dan unsur sindiran pengarang.
Kajian tentang perbandingan antara unsur kritikan sosial dan unsur sindiran pengarang bagi ketiga-tiga zaman perlu dimulakan dengan pengenalan tentang unsur kritikan mahupun unsur sosial bagi kajian ini. Kritikan berasal daripada perkataan Krinein dalam bahasa Yunani yang bermaksud menghakimi, membanding atau menimbang. Melalui perkataan ini, sasterawan menagambilnya untuk dijadikan suatu istilah dan medium untuk menyatakan pendapat mereka dalam dunia sastera. Hatta, terciptalah beberapa teori yang dikemukakan oleh para pemikir. Matthew Arnold mendefinisikan kritikan sebagai satu usaha yang bukan untuk mencari untung tetapi mempelajari dan menyebarkan sesuatu fikiran dan sesuatu yang telah diketahui sebagai yang terbaik dalam dunia. Mana Sikana pula memberi pendapat beliau bahawa kritikan adalah suatu disipln ilmu yang sistematikyang membicarakan soal penghayatan, penganalisisan dan penilaian sebuah karya kreatif. Ensiklopedia Britanicca pula menunjukkan bahawa kritikan bermaksud perbincangan kesenian-kesenian yang yang beralasan dan bersistem untuk menghurai atau menilai teknik dan hasilnya. Hashim Awang pula menyatakan bahawa kritikan bermaksud suatu usaa untuk menilai hasil ciptaan seseorang sasterawan dengan cara yang beralasan serta bersistem dan bertujuan untuk mengembangkan sesuatu yang difikirkan sebagai baik dan indah. Hal ini hamper bersesuaian dengan petikan daripada Ensiklopedia Indonesia yang menyebut bahawa kritikan ialah penilaian atau penghargaan mengenai hasil-hasil seni dan ciptaan seni.
Manakala bagi saya sendiri, kritikan sastera boleh saya definisikan sebagai suatu isea atau teori yang dikemukakan terhadap sesuatu produk seni sama ada melalui visual atau perkataan dengan niat untuk menghasilkan sesuatu produk seni yang lebih bermutu pada masa akan datang.
Konklusinya, kritikan boleh saya simpulkan sebagai perbuatan memberi penilaian terhadap sesuatu hasil sastera atau seni menerusi proses pengamatan dan perbandingan, menganalisis, dan menghayati dengan maksud mengembangkan tanggapan yang mungkin terbit darinya.
Seterusnya, definisi sosial tidaklah terlalu kompleks seperti kritikan. Namun begitu, pendapat mengenai perkataan ini tidak dapat dibentangkan oleh para pemikir kerana perkataan sosial lebih umum dan tidak hanya tertumpu kepada beberapa perkara sahaja. Perkataan sosial membawa maksud yang amat mudah difahami iaitu pergaulan dalam masyarakat. Jika disimpulkan hubungan antara perkataan kritikan dan sosial dalam sastera, kedua-dua perkataan ini boleh didefinisikan sebagai perbincangan dan teori yang dikemukakan secara bersistem dan beralasan tentang sesuatu hasil seni namun lebih spesifik kepada teknik kritikan terhadap gaya pergaulan masyarakat yang cuba ditonjolkan oleh pengkarya dalam mana-mana hasil sasteranya dengan tujuan untuk menyedarkan masyarakat atau menyindir secara halus bersertakan niat untuk memperbaikinya pada masa akan datang.
Dalam Drama Tiga Zaman, hampir kesemua penulis drama ada menyelitkan beberapa unsur atau situasi yang digambarkan sebagai cubaan untuk mengkritik kehidupan sosial dalam masyarakat pada zaman tersebut. Hal ini mungkin boleh disedari hanya jika pembaca meneliti kandungan drama tersebut ataupun situasi yang cuba diketengahkan terlalu signifikan terhadap kehidupan dan pergaulan dalam masyarakat yang berlaku pada zaman tersebut. Dalam konteks tiga zaman yang diterbitkan, terdapat variasi situasi yang cuba digunakan oleh penulis dalam usaha untuk mengkritik sesuatu masyarakat pada zaman drama itu ditulis.
Zaman: Sandiwara
Drama: Si Bongkok Tanjung Puteri
Penulis: Shaharom Husain
Sedikit introduksi pada bahagian atas untuk memperkenalkan zaman dan contoh drama yang diterbitkan. Drama Si Bongkok Tanjung Puteri secara kasarnya berkisar tentang kehidupan Si Bongkok yang derhaka, Si Bongkok akhirnya membunuh Si Tanjung kerana sifat hasad dengkinya kepada Panglima Putih. Dalam drama ini pelbagai situasi genting yang cuba dibawa oleh pengarang dalam usahanya untuk mengkritik kehidupan sosial pada masa tersebut.
Antara situasi yang cuba diketengahkan ialah situasi dialog antara Si Bongkok dan Panglima Putih selepas Si Bongkok menikam dada Si Tanjung. Panglima Putih sangat marah kerana Si Bongkok sanggup menikam isterinya lalu berniat untuk membunuh Si Bongkok.
TANJUNG: Ya Allah, kautikam aku Bongkok,sampai hati, sungguh kejam kau bongkok(Huyung-hayang kesana kemari menekan dada) Ya Allah, mati adinda, panglima, oh ayahanda, Allah.
PANGLIMA PUTIH: Kau ditikam Tanjung? Sampai hati Abang Bongkok menikam seorang perempuan yang lemah dan tidak berdosa. Sungguh kejam, tak berperkemanusiaan.
SI BONGKOK: Daripada mati begitu sahaja, lebih baik mati bersenjata.
PANGLIMA PUTIH: Ya, kerana Tanjung, aku rela mati sekarang. Nah, tikamlah segera, Putih sedia membukakan dada.
Situasi di atas jelas menunjukkan bahawa penulis ingin mengkritik tentang beberapa perkara sekaligus dimuatkan kedalam situasi dialog yang sama. Pertama, penulis ingin mengkritik kehidupan latar masyarakat yang hidup pada zama tersebut iaitu masyarakat yang sanggup berbunuhan sesama agama, bangsa dan lebih jelas lagi, sesame manusia hanya kerana perkara yang tidak disengajakan dan juga tidak mahu disengajakan. Dalam situasi di atas, Si Bongkok cuba untuk merampas dan melarikan Si Tanjung daripada Panglima Putih namun tindakannya gagal lalu secara tidak sengaja terbunuh Si tanjung, Namun begitu, penulis cuba menekankan bahawa perbuatan yang tidak disengajakan tersebut juga boleh membawa kepada pertumpahan darah dalam sesuatu masyarakat. Unsur sindiran yang sinis ini mungkin tidak disedari namun masih boleh dijadikan medium untuk mengkritik perlakuan masyarakat zaman dahulu mahupun kini. Pada masa kini juga manusia boleh bergaduh hanya kerana perkara yang tidak disengajakan.
Kedua, perihal berebutkan perempuan antara lelaki, Si Bongkok digambarkan sebagai seorang perampas kerana cuba untuk melarikan Si Tanjung daripada Panglima Putih. Dengan perwatakannya yang bengis dan garang cukup sinonim dengan watak yang jahat. Namun begitu, penulis juga cuba untuk mengenengahkan situasi perebutan wanita oleh dua orang lelaki. Secara logiknya, terdapat ramai wanita yang boleh dipikat atau ditawan oleh Si Bongkok maka tidak perlulah ia untuk merampas hak milik orang lain. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, walaupun Tuhan telah menciptakan manusia itu berpasang-pasang, Si Bongkok cuba untuk melawan takdirnya dengan cubaan untuk merampas hak Panglima Putih, hal ini jelas menggambarkan bahawa penulis cuba untuk mengkritik masyarakat yang suka berebutkan perempuan pada masa tersebut. Pada masa kini juga kritikan tersebut masih berhasil kerana masyarakat dewasa ini juga cenderung berebutkan wanita walaupun bilangan wanita lebih ramai berbanding lelaki.
Kritikan ini juga membawa pelbagai kesan yang positif dan negatif kepada pembaca. Kesan positif dapat diperolehi daripada situasi yang cuba diketengahkan oleh penulis. Antaranya, pembaca boleh mendapat pelbagai pengajaran setelah membaca atau memasuki bahagian situasi ini. Hal ini boleh menyedarkan pembaca terhadap pentingnya nilai seseorang isteri terhadap suami. Bagi sesetengah pihak, mereka mungkin sekali beranggapan bahawa setelah situasi ini dilihat daripada sudut positif, Panglima Putih cuba untuk mempertahankan isterinya Si Tanjung daripada dirampas oleh Si Bongkok, hal ini sekaligus menerbitkan nilai kasih dan sayang Panglima Putih terhadap isterinya Si Tanjung. Mungkin situasi ini mampu untuk memupuk para suami agar sentiasa mempertahankan isteri mereka dalam apa jua keadaan memandangkan kaum wanita amat memerlukan perlindungan suami mereka tatkala mereka menempuh bencana. Situasi ini berjaya membuatkan pembaca lebih sedar terhadap motif sebenar Panglima Putih untuk berlawan dengan Si Bongkok. Hanya untuk mempertahankan maruah isteri dan keluarganya, Panglima Putih sanggup bergadai nyawa.
Pendapat juga mungkin berbeza jika dilihat kesannya terhadap pembaca yang bersifat terlalu negatif terhadap persekitarannya. Kesan situasi yang cuba dibawa oleh penulis ini kepada mereka ialah mereka lebih cenderung kepada menganggap situasi pergaduhan ini sebagai perebutan wanita yang sangat sia-sia. Pendapat sebegini tidak salah kerana pendapat ini lahir daripada pengkritik sendiri.Pada pendapat mereka, tidak perlu bergaduh hanya untuk berebutkan seorang wanita. Hal ini kerana mungkin mereka boleh mendapat wanita yang lebih baik daripada Si Tanjung. Pergaduhan hanya kerana seorang perempuan sangat merugikan dan kesan persepsi ini terhadap pembaca boleh berubah-ubah mengikut tempoh masa. Kebanyakan pendapat lebih kepada bersifat negatif kerana mereka tidak mahu sama dengan orang lain dan cuba untuk berfikir di luar kotak.
Kesimpulannya, bagi kritikan yang cuba dibawa oleh penulis pada zaman sandiwara ini jelas menunjukkan bahawa beliau berusaha untuk melahirkan rasa dan luahan hati beliau terhadap senario masyarakat disekeliling beliau pada masa tersebut. Namun begitu, sesetengah situasi yang cuba dibawa oleh penulis kerap kali menimbulkan persoalan tentang subjek yang dikritiknya dan tujuan kritikan atau sindiran sosial itu dibuat. Selain itu, penulis dilihat sangat berjaya dalam menghasilkan sesuatu situasi genting dalam dramanya yang secara telus menyindir masyarakat. Sehinggakan pada suatu tahap yang mana pembaca boleh hadir dengan pelbagai persepsi kepada unsur kritikan sosial yang cuba dihasilkan oleh penulis. Persepsi ini sekaligus membawa dua kesan yang berlainan terhadap pembaca tidak kira pembaca semasa atau moden.
Zaman: Realisme
Drama: Jalan Yang Benar
Penulis: Kala Dewata
Seterusnya beralih pula kepada drama Zaman Realisme yang boleh dikatakan lebih moden sedikit berbanding drama pada Zaman Sandiwara. Terdapat lima drama pada zaman tersebut namun secara keseluruhannya kritikan sosial dan sindiran yang cuba ditonjolkan oleh para pengkarya lebih kurang sama. Justeru, wajarlah diambil satu contoh drama dalam zaman ini untuk dijadikan stereotaip kepada semua drama yang dipentaskan pada zaman tersebut. Jadi drama yang dipilih ialah Jalan Yang Benar hasil karya Kala Dewata. Drama ini dipilih kerana jalan ceritanya yang lebih mudah dan ringkas untuk difahami serta padat isi kandungannya berbanding drama yang lain. Justeru drama ini akan melambangkan segala drama yang turut sama dihasilkan sezaman dengannya. Drama Jalan Yang Benar karya Kala Dewata ini berkisar tentang keluarga Tuan Haji dan Mak Haji yang cukup benci terhadap masyarakat yang suka memecahbelahkan penduduk kampung sehingga pada suatu hari Ramlah iaitu bekas penduduk kampung tersebut datang ke rumah Mak Haji dan Tuan Haji untuk tumpang bermalam namun dimaki keras oleh Mak Haji yang sememangnya benci akan keturunan Ramlah yang berstatuskan anak haram. Di akhir cerita, Ramlah beredar meninggalkan rumah Mak Aji dan Tuan Haji tanpa bermalam dan memberitahu siapa bapa kepada anak luar nikahnya.
Pelbagai jenis dan gaya kritikan dan sindiran yang cuba diketengahkan oleh Kala Dewata dalam drama ini. Penulis cenderung untuk mengkritik masyarakat yang mencemuh seseorang yang berstatuskan anak luar nikah dan jarang hendak memberikan bantuan, malah bayi dalam kandungan juga turut dicemuh walaupun bayi tersebut tidak berdosa.
TUAN HAJI: Oh Oh….naiklah!
MAK HAJI: (Menjerit) Tidak! Tidak! (Merampas pintu dari TUAN HAJI), Tidak! Siah Palih! Aku tak benarkan dia menjejak rumah aku!
TUAN HAJI: Eh, kan dia tu anak Kasim, anak Limah di hulu tu kemarin?!
MAK HAJI: Ya, anak Kasim, anak luar nikah, anak keparat…anak gampang si Limah bukan?! Hari ini betina ini lebih sial lagi. Macam awak tak tahu! (TUAN HAJI cuma memandang berkelip-kelip pada MAK HAJI dan kemudian tidak berkelip-kelip pada RAMLAH. Dia membilang tasbihnya dengan kencang)
MAK HAJI: Pergi! Pergi kau dari sini! Tak ada orang yang mahu menerima kau di tempat kami ini. Pergi kaubalik tempat kaudatang!
RAMLAH: Saya datang dari kampung ini.
MAK HAJI: Tidak, sial! Pergi kaubalik ke pekan…ke jalan-jalan, ke lorong-lorong, ke kedai, ke hotel! Pergi! Pergi! (Ia mahu menutup pintu dengan kuat.
Dialog di atas merupakan petikan daripada situasi yang berlaku dalam drama Jalan Yang Benar di mana situasi berlakunya cemuhan dan makian yang cukup hebat daripada Mak Haji. Berdasarkan dialog yang cukup ringkas ini. Penulis kelihatan jelas ingin mengkritik sikap masyarakat pada masa tersebut iaitu masyarakat yang gemar untuk menjadikan sesuatu sikap atau status yang bersifat keturunan sebagai bahan stereotaip kepada golongan keturunanan bawahnya. Sebagai contoh yang dipetik daripada drama Jalan Yang Benar di atas. Mak Haji terus menerus memaki keturunan Ramlah kerana Ramlah merupakan anak luar nikah Kasim dan Limah. Oleh kerana itu, Ramlah juga secara lumrahnya turut bergelumang dalam dosa yang sama pernah dilakukan oleh ibu dan bapanya. Disebabkan sebab yang boleh digambarkan sebagai kebetulan tersebut, Mak Haji terus menghina bayi yang sepatutnya menjadi keturunan Ramlah.
MAK HAJI: Ya ada. Tapi belum berbulan lagi emak dan bapanya serumah, dia ni dah memancut keluar. Aku tahulah. Itulah pasalnya lakunya macam…macam ‘tu!
MAK HAJI: Cis, apa yang nak dirisaukan. Budak itu kalau hidup pun anak keparat, anak haram. Menyusah hidup orang saja. (Hujan lebat kembali. Angin kencang. Kilat sabung-menyabung. RAMLAH menggigil kesejukan. Ia sebagai mencuba untuk merempuh hujan pekat dan malam gelita itu).
Dua petikan di atas sudah cukup untuk menggambarkan sikap Mak Haji yang gemar untuk menyamakan seseorang dan menilainya mengikut nasab keturunan. Jika buruk keturunannya, maka akan terus buruklah anak, cucu dan cicitnya. Pada tahap ini, penulis benar-benar mahu menekankan tentang sikap orang melayu yang gemar untuk berbuat demikian. Pada tahap kedua, penulis drama ini juga cuba untuk mengkritik sikap yang cuba digambarkan sebentar tadi. Jika dilihat pada sambungan bahagian petikan ini, terdapat sedikit selingan dan celahan daripada Ramlah sekaligus menempelak kata-kata yang dikeluarkan oleh Mak Haji. Pada ketika ini, penulis cuba untuk menonjolkan kritikan beliau terhadap masyarakat pada waktu tersebut yang diwakilkan oleh Mak Haji. Penulis telah cuba untuk hadir dengan kritikan sinis melalui penulisannya dalam dialog yang diucapkan oleh Ramlah sendiri.
RAMLAH: (Menyapu air pada mukanya dan tersenyum pahit) Anak haram itu ada juga berbapa, cuma tak berkahwin sahaja.
Penonjolan dialog yang ringkas daripada penulis melalui dialog Ramlah sudah cukup untuk membidas dan menyedarkan pembaca betapa tidak patutnya Mak Haji berkata sedemikian rupa kepada Ramlah. Dalam situasi sebegini, penulis sangat berjaya daripada segi kritikan sosial beliau terhadap masyarakat pada zaman tersebut. Penulis drama ini terus menghangatkan kritikan beliau dan sindiran yang cukup sinis melalui reaksi Mak Haji terhadap kata-kata Ramlah.
MAK HAJI: Cis, sial. Aku tahu.
Penulis drama pada zaman ini atau lebih spesifik kepada Kala Dewata ialah penulis yang sangat berjaya dalam menghasilkan kritikan sosial beliau terhadap masyarakat melayu dan cara beliau melahirkan rasa nasihat atau teguran beliau dalam satu insiden yang sama adalah sangat mengagumkan mana-mana pembaca dan pengkritik sastera. Berdasarkan reaksi Mak Haji terhadap jawapan Ramlah, Mak Haji jelas tampak terkedu dan tidak mampu untuk menjawab atau memakinya lagi. Tambahan pula, Mak Haji terus merendahkan nada suaranya yang kuat dan lantang.
Terdapat pelbagai reaksi terhadap drama ini, termasuk juga kesannya dalam bentuk positif dan negatif terhadap pembaca. Jika dilihat kesannya terhadap pembaca dalam bentuk positif, pembaca mungkin akan tersedar dan beranggapan bahawa Mak Haji tidak sewajarnya bersikap demikian terhadap Ramlah kerana walaupun Ramlah seorang perempuan yang pernah bergelumang dalam noda dan dosa maksiat yang tidak terhingga kesannya terhadap masa depannya dan juga anaknya. Namun Ramlah juga mempunyai hati dan perasaan sama seperti manusia lain, sama juga seperti Mak Haji. Maka Mak Haji juga sangat tidak patut untuk memaki dan mencemuh Ramlah sedemikian rupa.
“Ada seorang wanita dari Juhainah datang kepada Rasulullah SAW sedang dirinya hamil kerana berzina. Dia berkata: Wahai Rasulullah aku telah melakukan kesalahan yang menyebabkan aku terkena hudud, maka laksanakanlah hudud itu kepadaku. Kemudian Rasulullah SAW memanggil wali perempuan ini dan bersabda: Berbuat baiklah kepadanya apabila sudah melahirkan bawalah dia kepadaku.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Sabda Rasulullah s.a.w :
"Sesungguhnya seorang mukmin, jika ia mengerjakan suatu perbuatan dosa, maka akan timbul noda hitam dalam hatinya. Jika ia bertaubat, menarik diri dari dosa itu, dan mencari rida Allah, maka hatinya menjadi jernih. Jika dosanya bertambah, maka bertambah pula nodanya sehingga memenuhi hatinya. Itulah yang disebut ar-ran (penutup), yang disebut oleh Allah Ta'ala dalam firman-Nya, 'Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang telah mereka usahakan itu menutupi hati mereka'."
Jika dilihat pada hadis Nabi Muhammad S.A.W di atas, nabi sendiri tidak mengeji perbuatan penzina tersebut, malah baginda turut memaafkannya dan melayannya dengan baik, penggunaan watak juga turut berkesan kerana penulis menggambarkan wanita yang memaki Ramlah sebagai Mak Haji, di sini beliau sekali lagi mengkritik perbuatan Mak Haji kerana sepatutnya Mak Haji yang dalam namanya terdapat perkataan ‘Haji’ tidak patut berkata demikian kerana ia patut menonjolkan sikap yang lebih baik.
Terdapat juga kesan negatif drama, khususnya situasi ini terhadap pembaca, Hal ini boleh dan berkemungkinan besar terjadi jika pembaca lebih bersifat pessimis atau mahu berfikir di luar kotak sehingga mencacatkan logik akal mereka dalam menilai sesuatu bentuk teguran. Mereka akan cenderung untuk beranggapan bahawa tindakan Mak Haji adalah kena dengan status Ramlah yang sedemikian, pendapat mereka mungkin sangat berbeza berbanding pembaca yang lain. Pada pendapat mereka, jika Ramlah sudah mengetahui bahawa dirinya seorang anak luar nikah, maka Ia tidak patut turut sama memburukkan dirinya di hadapan orang ramai kerana perbuatan Ramlah tersebut jelas akan menunjukkan bahawa Ia seolah-olah menyokong tindakan ibu dan bapanya yang berlaku keji sehingga berlaku kelahirannya di luar pernikahan. Jadi jika Ramlah dihina oleh seorang yang sudah mendapat gelaran haji seperti Mak Haji, maka tindakan Mak Haji adalah sangat wajar bagi Ramlah yang sudahlah berketurunan dan berstatus anak luar nikah, namun Ramlah tidak cuba untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap dirinya, maka memanglah patut jika Ramlah dihina sedemikian rupa.
Selain itu, mereka juga cenderung untuk berfikiran negatif kerana teknik penceritaan oleh penulis yang menggambarkan Ramlah sebagai anak luar nikah sebagai sesuatu yang umum. Hal ini boleh diperjelaskan lagi melalui tanggapan masyarakat khususnya pembaca terhadap stereotaip yang dibawa oleh Ramlah, iaitu masyarkat melayu yang kolot dan perbuatan melahirkan dan ‘menghasilkan’ anak luar nikah sebagai sesuatu yang langsung tidak mengejutkan. Memandangkan drama ini akan terus bersarang dalam minda masyarakat, mereka akan mudah meletakkan anak luar nikah sinonim dengan orang melayu. Jadi gejala sebegini akan sangat sukar untuk dibendung kerana sudahlah terus berleluasa kegiatannya, malah dicaci pula setelah melahirkan.
Konklusinya, penyusunan kata, penggunaan kata-kata dan penamaan watak serta penyusunan plot yang digunakan oleh penulis sangat berkesan dalam usaha beliau untuk mengkritik kepincangan yang berlaku dalam sesuatu masyarakat. Hasilnya, kesan yang hebat akan terjadi kepada pembaca dan terpulang kepada mereka untuk menilai sama ada daripada sudut positif atau sebaliknya. Tambahan pula, penulis juga berjaya mengkritik dan menyindir sinis masyarakat dengan lebih baik berbanding penulis dalam zaman sandiwara. Mungkin zamannya memang berbeza, namun mesejnya adalah sama, cuma pada kritikan kali ini, Kala Dewata tampak melakukan banyak peningkatan dan penambahbaikan terhadap gaya kritikan berbanding penulis-penulis drama dalam zaman sandiwara.
Zaman: Kontemporari
Drama: Di Pulau Sadandi
Penulis: Dinsman
Pada zaman kontemporari, pendekatan tentang kritikan sosial sangat berbeza dan mungkin sedikit kompleks jika hendak dibandingkan dengan drama pada zaman-zaman yang sebelumnya. Penulis cuba mengheret akal manusia supaya berfikir sejenak sebelum menilai dan membaca sebelum mereka boleh dan berupaya untuk memahami jenis sindiran dan kritikan sosial yang cuba dibawa oleh penulis terus dan telus ke dalam jiwa pembaca. Hal ini kerana penulis pada zaman ini hadir dengan contoh dan situasi serta teknik penceritaan yang sangat berbeza berbanding zaman sebelumnya. Penulis lebih gemar untuk mencuba pelbagai cara termasuk menggunakan nama singkatan, nama aneh, dan perlambangan untuk memaksa pembaca dan pengkritik untuk berfikir tentang tujuan drama dan simbol tersebut digunakan di samping kritikan sosial dan sindiran yang sedang dikaji. Hal ini bukan sahaja dapat menghasilkan impak yang besar terhadap evolusi perkembangan drama sesuatu zaman, bahkan dapat membantu pembaca dan pengkritik untuk hadir dengan pelbagai variasi persepsi dan komen yang tersendiri. Maka pelbagai komen dan pujian dapat diperoleh sekaligus boleh memantapkan lagi penulisan pada masa akan datang.
Seperti yang sebelumnya, hanya drama yang dilihat lebih menonjol contoh kritikan sosial dan sindiran oleh pengarang dalam sesuatu zaman akan dipilih sebagai medium untuk dijadikan perbandingan yang sangat mantap dan jelas dalam usaha untuk menjayakan kajian ini. Dalam kes ini, drama Di Pulau Sadandi dipilih sebagai bahan rujukan dan ulasan kerana hasil kerja dan tahap kompleks yang dicapai adalah pada tahap yang terbaik untuk mendahului empat novel yang lain. Di Pulau Sadandi mengisahkan tentang perjalanan harian pasangan kekasih Sa dan Di yang sedang asyik bercinta, perjalanan mereka melalui hari digambarkan dalam tempoh masa yang mudah iaitu lebih kurang seminggu. Pasangan kekasih ini sangat mabuk bercinta sehingga Di sanggup menceraikan isteri dan meninggalkan anak-anaknya yang sakit pada ketika itu hanya kerana ingin bersama dengan kekasihnya iaitu Sa. Sa pula meninggalkan ibu dan bapanya untuk bersama Di setelah penolakan Di oleh bapanya. Kehidupan mereka berjalan dengan baik sehingga Salam datang untuk menasihatkan mereka agar kembali ke pangkal jalan. Salam merupakan rakan baik kepada Di cuba untuk menasihatkan mereka tentang keluarga masing-masing namun nasihatnya bukan sahaja tidak diendahkan malah Salam turut diusir daripada lokasi mereka. Salam mengambil foto mereka untuk menjadikannya bahan media dan tidak lama selepas itu, pasukan penyelamat bersama keluarga Sa dan Di hadir untuk memujuk mereka berdua supaya pulang ke rumah, namun atas dasar cinta dan kasih sayang, Sa dan Di mencipta muslihat agar usaha mereka gagal.
Berdasarkan keseluruhan drama yang dihasilkan oleh Dinsman ini, beliau telah menyelitkan beberapa situasi yang boleh dianggap sebagai salah satu usaha beliau untuk mengkritik sikap dan kepincangan masyarakat yang berlaku pada zaman tersebut. Namun begitu, situasi yang telah ditulis oleh beliau membuatkan pembaca terpaksa berfikir sejenak sebelum membuat keputusan sama ada dalam bentuk positif mahupun negatif.
DI: Kalau tak takut…
SA: Apa? Ha, kalau tak takut, apa?
DI: Kalau tak takut, buka bajumu!
SA: (Terperanjat) Ha!!!
DI: Kenapa terperanjat?
SA: Tak apa.
DI: Aku suruh buka, sebab baju itu basah, Ha buka baju tu, jemurkan sekejap, bila dah kering, pakailah balik. Kau ingat aku nak apa?
SA: Tak apa.
DI: Kenapa tak buka?
SA: Awak orang lelaki, saya orang perempuan.
DI: Siapa kata awak orang lelaki?
SA: Awak suruh kita buka baju.
DI: Oo, orang perempuan tak boleh buka baju?
Walaupun dialog dan situasi di atas sedikit panjang, namun jelas penulis cuba untuk mengkritik peradaba masyarakat pada zaman tersebut. Perkara ini sedikit sukar bagi pembaca dan pengkritik kerana isi kandungan, pemilihan dan penyusunan kata-kata yang digunakan oleh penulis sangat rapi dan membawa maksud yang tersirat. Terdapat beberapa unsur kritikan tersirat yang cuba diketengahkan oleh penulis, Pertama, sifat gatal dalam kalangan kaum Adam. Mungkin perkara ini tampak biasa bagi sesetengah pihak, namun perkara ini sangat dipandang serius oleh penulis. Berdasarkan dialog di atas, Di menyuruh Sa agar membuka bajunya. Hal ini tampak ringkas dan bersahaja namun maksud yang sangat mendalam cuba disampaikan oleh penulis. Penulis cuba untuk menggambarkan kaum lelaki sebagai kaum yang bernafsu tinggi dan suka mengambil kesempatan, pendapat penulis ini tidak salah kerana pada hakikatnya kaum lelaki nafsu seksualnya lebih kuat berbanding wanita.
“Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memejamkan setengah dari pandangan mereka…”-SURAH AN-NUR ayat 30
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Firman dan Hadis di atas juga jelas menyokong cara penulis mengkritik sikap Di terhadap Sa. Penulis cuba untuk melahirkan rasa kesalnya terhadap jiwa dan nafsu lelaki. Di digambarkan sebagai lelaki yang sanggup meninggalkan isteri dan anak semata-mata untuk bersama Sa, namun, tiba-tiba ia menyuruh Sa membuka baju, tindakannya amat tidak bertepatan dengan agamanya dan sikapnya terhadap perempuan. Walaupun pada asalnya niat Di itu adalah baik, namun setelah dipaksa barulah Di ingin pergi mencari buah-buahan. Jika tidak, mungkin Di akan terus bertapak di situ untuk menikmati pandangan berahi yang menaikkan nafsunya. Tambahan lagi, mereka hanya berdua di pulau tersebut.
DI: Kenapa tak buka?
Sekali lagi penulis cuba meyakinkan pembaca bahawa Di bukanlah ikhlas 100% untuk menolong Sa, malah Di memaksa dan bertanya tentang tindakan Sa yang belum melakukan arahannya. Amatlah janggal jika seorang lelaki yag sanggup meninggalkan keluarganya tidak mempunyai nafsu terhadap wanita yang belum disentuhinya. Jadi, penulis cuba mengkritik sikap lelaki pada zaman tersebut yang suka mengambil kesempatan terhadap wanita.
Kedua, penulis cuba untuk menyindir kaum lelaki yang suka bercakap kosong dan loyar buruk. Penulis merasakan bahawa beliau perlu menyedarkan masyarakat tentang sikap ini yang umunya berlaku kepada kaum lelaki. Hal ini kerana kaum wanita amat tidak senang dengan sikap lelaki yang suka loyar buruk. Hal ini kerana jenaka dan loyar buruk amat berbeza seperti yang ditunjukkan di bawah.
Jenaka: Kata-kata atau perbuatan yang menggelikan hati
Loyar Buruk: Perbuatan seseorang yang suka menunjuk-nunjuk kepintarannya walaupun sebenarnya tidak pandai
Definisi sahaja sudah jelas menunjukkan bahawa wanita amat tidak suka kepada golongan lelaki yang gemar untuk loyar buruk. Penulis cuba membuka mata pembaca dengan membangkitkan isu ini secara tersirat. Penulis sengaja berbuat demikian kerana perkara ini dapat menjadikan pembaca lebih berfikiran terbuka dan mudah menerima pendapat penulis.
SA: Awak orang lelaki, saya orang perempuan
DI: Siapa kata awak orang lelaki?
Berdasarkan dua dialog ringkas antara Sa dan Di, jelaslah bahawa Di digambarkan sebagai lelaki yang cenderung untu berjenaka namun produk jenakanya hanyalah loyar buruk kosong. Penulis cuba membawa teori yang sangat mudah untuk mengajak pembaca berfikir, Di sudah tahu bahawa Sa ialah seorang perempuan, maka tidak perlulah ia untuk bertanya sekali lagi. Penulis ingin menyindir kaum lelaki pada zaman tersebut melalui watak Di dengan harapan supaya perkara terebut dapat diperbaiki setelah pembaca selesai membaca drama tersebut.
Kesan drama ini amat mudah kerana setelah berfikir jauh, pembaca akan mudah terdorong kepada sifat positif. Daripada sudut positif, pembaca akan bersetuju dengan segala pendapat yang dikemukakan oleh penulis memandangkan kebanyakan pendapat penulis adalah bersifat positif. Mereka akan merasakan bahawa adalah tidak wajar bagi seseorang untuk meninggalkan keluarganya sendiri hanya kerana kekasih yang dicintainya. Tambahan lagi jika keluarga mereka sedang sakit, bahkan adalah derhaka jika tidak mengendahkan panggilan ibu bapa seperti yang dilakukan oleh Sa. Sa langsung tidak mengendahkan jeritan ibunya yang memanggil namanya.
Namun begitu, masih juga hadir pendapat-pendapat yang bersifat negatif. Kesan drama yang ditulis ini juga akan membuatkan pembaca lebih terdorong kepada mencintai kekasih lebih daripada segalanya di muka bumi. Hal ini kerana, situasi Sa dan Di yang berada di pulau hanya untuk berasmara dan memadu kasih boleh menjadi idea yang baik bagi mereka yang ingin melakukan perkara yang sama. Kesan kritikan positif oleh penulis juga akan membuatkan pembaca lebih menyokong Sa dan Di kerana jika sudah cinta, lautan dalam pun akan direnangi.
Konklusinya, kritikan dan sindiran sosial yang cuba disampaikan oleh penulis telah menunjukkan peningkatan daripada segi maksud, penggunaan kata, penyusunan kata, perlambangan, dan simbolik berbanding zaman sandiwara dan realisme. Penulis juga berjaya membawa pembaca ke alam pemikiran baru yang dicipta oleh penulis sendiri dengan harapan agar pembaca dapat memahami isi tersirat dalam kritikan yang cuba disampaikan oleh penulis. Ketiga-tiga zaman ini mungkin berbeza kerana penulis melalui zaman yang berbeza dalam usaha mereka untuk menulis dan mengkritik masyarakat pada zaman tersebut, namun peningkatan demi peningkatan berjaya ditonjolkan oleh kesemua penulis drama bagi setiap zaman. Para penulis berjaya hadir dengan idea yang baru dan konsep yang unik untuk mengkritik sesuatu masyarakat.