Tuesday, 3 May 2016

Orang Itu Orang Penting

30 Oktober 2015

Dada sesak berdetak menanti retak, ibarat satu teratak, alih satu bata, semua jadi retak, sekejap jadi rata. Aku benci menjawab panggilan yang tidak ingin sekali aku alirkan bunyinya ke dalam auditori telinga aku. Alunan kematian. Kau tahu betapa buruknya hakikat menerima kematian orang sekeliling kau? Kalau kau tak tahu pun kau akan tahu. Orang ini aku kenal benar rupa parasnya, perilakunya, dan tutur bahasanya. Aku kenal dia ketika aku hanya mampu mencium bau minyak yang dituang emak ke dalam kuali tanpa melihat isi, dan melihat abah menuang minyak ke dalam kereta dan tertanya apakah isinya corong itu kerana baunya sangat enak.

Selepas solat jumaat, aku pergi menziarah jenazah yang tak kunjung tiba. Waktu berdetik dalam terik panas yang habanya seakan hiba menanti kepulangan jenazah ke tempat asalnya. Aku bukan keluarganya, tapi pilu hati aku tidak mampu menahan esak hanya mampu disembunyikan dibalik selakan rambut hitamku yang panjang hujungnya menyentuh leher. Aku malu kerana keluarganya juga tidak menangis namun rambutnya sama hitam, kenapa aku harus melebih-lebih.

Tiga jam berlalu, orang ramai sudah mulai ramai tidak kurang rimas menanti. Tidak kurang juga muka jelak yang aku perhatikan dek kerana panasnya hari itu. Bukan tuhan untuk menghukum, tapi adakah salah untuk kau luangkan masa beberapa jam untuk penghormatan yang terakhir kali untuknya? Jikalau itu dianggap meminta-minta, aku rela menjadi pengemis air mata. Kerana orang ini lebih bermakna kepada aku lebih daripada bermaknanya girang hati si tahi judi.

Ketika jenazah sampai, baju aku sudah lencun menyerap peluh. Aku tak menangis sebab aku malu aku bukan keluarganya pun. Jadi biarlah mereka pergi dahulu menyambut kepulangan ahli keluarga mereka. Aku menyusul di belakang tatkala jenazah dibawa masuk ke dalam surau untuk disolatkan. Aku berkaki ayam menyergah masuk ke dalam surau mendapatkan saf pertama kerana mungkin itu sahajalah penghormatan peribadiku buat dirinya. Tidak mampu mencium kerana aku bukan siapa siapa, hanya terakhir mencium tangannya sebelum aku tiga belas tahun.

Kain dibuka, hatiku sedih bertambah hiba melihat sekujur badan tiada bertahan, melihat wajahnya yang tenang seperti orang yang tidur. Wajahnya jauh benar bezanya berbanding lawatanku yang terakhir di hospital. Seperti sahaja penderitaannya sudah tamat. Aku ikhlasnya tidak sedih melihat jenazah, namun apabila menatap wajahnya yang tidur itu dan berfikir bahawa orang ini kenal akan diri aku, dan orang ini pernah hidup dan berjalan atas bumi ini cukup untuk membuat sesiapa sahaja berduka. Aku berdiri di saf hadapan bahagian kanan hujung, untuk menyembunyikan air mata yang jatuh. Mungkin itulah solat aku yang paling khusyuk setakat ini.

Aku berjaya menyelinap masuk ke dalam van jenazah yang menuju ke tanah perkuburan. 10 minit perjalanan itu aku duduk bersebelahan keranda dengan rasa yang kosong. Bau kapur barus dan air wangi menyerbak ke seluruh van. Petang itu hujan mula membasahi bumi, begitu juga hatiku. Hanya aku yang turun ke dalam liang lahad itu yang bukan dari kalangan keluarganya. Ketika aku memegang jenazah turun ke dalam, aku tersentuh apa yang aku rasakan seperti lengannya dan terus dada aku menjadi padat dengan lintasan masa lalu.

Aku berdoa bahawa jangan lah diapa-apakan orang ini kerana tangan inilah yang membesarkan ahli keluarganya. Tangan inilah yang menggoreng cucur udang ketika aku lapar selepas bermain basikal dirumahnya. Tangan ini jugalah yang mengajar kanak-kanak sebayaku mengaji alquran dirumah bersenjatakan lidi sate.

Selesai majlis, aku meninggalkan tanah itu berkaki ayam. Tinggalkan dikau disitu akan kuhantarkan bekalan doa setiap hari dan di setiap lintasan wajah kau di kepala aku. Mungkin aku jahil beragama namun aku sedih jika kau cemburu melihat kubur sebelah dan berkata:

“Anak orang itu ada kirim bekalan hari ini, aku tak ada pun, jerih menunggu”

Alfatihah.