Saturday, 20 July 2013

doktrin humanisme

Doktrin Humanisme

Pendahuluan yang baik tidak semestinya menjamin sebuah adikarya tulisan dan picisan yang berkualiti. Prihatin terhadap suasana ini, saya sedar bahawa ada benarnya kenapa saya amat membenci pendahuluan. Hal ini demikian kerana apabila saya mula menulis sebuah tulisan, pendahuluan dan permulaan merupakan proses yang amat kelekik walaupun perancangan dibuat secara sungguh-sungguh celi bagai semut menelaah rakannya. Bahasa ini ialah bahasa denotatif dan figuratif, harap maklum.

Lihat? Insepsi pendahuluan yang membuang waktu penulis dan pembaca juga, jika rajin bacalah daripada mula. Pernahkah kita peka terma “affective fallacy”? Kepada yang belum mendengar, terma ini merupakan sebuah pemikiran separa konservatif yang masih diamalkan dalam masyarakat pasca merdeka ini. “affective fallacy” bermaksud kesilapan dan kekeliruan seseorang kerana menganggap bahawa kesan puisi terhadap pembacanya merupakan tanda aras bagi tahap kualiti puisi tersebut. Perasaan pembaca setelah membaca sebuah karya sebenarnya kurang penting jika hendak dibandingkan dengan betapa bagusnya hasil analisis sajak tersebut, tentang kebagusan memilih rangkap, kata dan lain-lain.

Perkaitan antara terma ini dengan perihal latar masyarakat melayu semakin mendatar aras kenaikannya. Hal ini kerana terma ini amat lah sesuai dengan norma yang berlaku pada hari ini. Mungkin sekali kita lupa, keralatan, kepelakan serta kekeliruan ini berlaku atas sebab yang biasa antaranya, pengaruh rakan, perbualan harian keluarga, sistem pemikiran tahap rendah, mentaliti yang sangat terpencil, keturunan, sistem emosi yang terganggu serta keterpelahauan yang melampau dalam kehidupan harian.

Marcapada ini, kita lebih melihat usaha seseorang untuk menggembirakan orang lain lebih kepada kesannya terhadap orang yang cuba digembirakannya. Bukankah hal ini sangat berkait rapik dengan fenomena ini? Contoh ini amatlah suang dan ringkas, jika seseorang cuba untuk menggembirakan hati orang kesayangannya, beliau serta mungkin membeli hadiah, mengeluarkan kata-kata yang menyedapkan halwa telinga walaupun terpaksa mengorbankan apa sahaja yang sedang dibuat mahu pun masa, tenaga, wang serta ‘opportunity cost’ yang lain. Bukankah kita sehari-harian cuba untuk menggembirakan orang lain terutamanya orang-orang kesayangan kita? Pada pendapat saya yang hina ini, kegembiraan bukan milik kita, kegembiraan adalah milik orang lain, jika semua orang gembira, maka kita barulah boleh menjadi gembira, jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membuat semua orang gembira supaya kita boleh turut serta. Saya percaya kerana tiada yang lebih menggembirakan selain berjaya membuat orang-orang sekeliling gembira.

Persoalannya sekarang, adakah kita melihat kegembiraan tersebut hanya kepada kesannya kepada orang yang cuba digembirakan? Hal inilah yang berlaku dalam masyarakat melayu terbatasnya pada hari ini, keberjayaan seseorang itu bergantung kepada hasilnya terhadap orang lain. Jika seseorang itu berjaya membuat orang lain gembira, maka ia adalah ikhtiar yang berkualiti. Sebenarnya, perasaan dan hasil metode menggembirakan orang terhadap subjek adalah kurang penting. Mahu pencerahan? Teruskan pembacaan.

Hal ini kerana manusia diciptakan Allah sebagai ciptaan yang unik. Manusia mempunyai variasi perasaan yang berbeza-beza mengikut determinan masing-masing. Jadi jika usaha yang sama dilakukan untuk membuat seseorang itu gembira, tidak bermaksud cara yang sama akan menggembirakan orang lainnya. Oleh sebab ini, kita harus menilai seseorang itu mengikut tahap usaha serta kualiti usaha yang dilakukannya. Benar jika dikatakan bahawa setiap yang berusaha keras akan bertemu kejayaan. Namun dalam wacana ini kita berbicara soal manusia, perasaan, lahiriah, batiniah serta ‘anagoge’ yang amat kompleks untuk dibicarakan. Oleh itu moleklah jika kita terus fokus kepada usaha seseorang.

Menggembirakan orang lain bukanlah tugas yang mudah. Namun kita harus melihat kepada aspek pemilihan subjek, dan teknik yang digunakan. Dalam erti kata mudah, usaha seseorang harus dihargai. Hal ini kerana kesan terhadap orang lain tidak penting namun betapa kerasnya usaha seseorang itu yang menjadi taruhan.

Sia-sia berbicara panjang tanpa penutup, pada hari ini kita mencapai tiga konklusi mudah:
1. Kegembiraan adalah milik orang, bukan kita. Jika hendak gembira, gembirakan semua orang dan kegembiraan yang terakhir itu adalah milik kita. Kerana tiada yang lebih gembira melainkan berjaya menggembirakan orang lain.
2. Hargai setiap usaha menggembirakan orang lain yang dibuat oleh seseorang, kerana kualiti usahanya bergantung kepada hasil analisis usahanya bukan hasilnya terhadap subjek yang cuba digembirakannya.
3. Jangan berharap setelah mencuba, kerana harapan adalah kekecewaan. Teruskan menggembirakan orang tanpa putus asa walau bercerai badan dari nyawa.

Saya amat percaya bahawa jika ketiga-tiga ini diamalkan oleh semua orang, kita akan dapat mencapai suatu kejayaan sosial khususnya, dalam masyarakat melayu. Tiada lagi perasaan hendak marah, hasad dengki, balas dendam, iri hati, dan perasaan yang negatif yang wujud dalam masyarakat kini.
Semoga kita semua dilimpahi dengan nikmat, budaya tolong-menolong, sikap memberi tanpa mengharap, kejujuran, serta kebersihan rohani yang mutlak, Insya-Allah

Saya amat menyukai penutup, dan ‘deus ex machina’ adalah cara saya menghasilkan penutup. Hal ini kerana penutup merupakan pelindung kepada keseluruhan picisan. Bayangkan penutup bekas kuih raya, jika tiada penutup, maka rosaklah kuih tersebut. Begitu juga dengan penutup karya. Dengan adanya penutup, karya itu menjadi lengkap dan terjaga. Maka saya persembahkan amanat saya yang hina ini.
InsyaAllah.


Khairil Fiqri bin Khalid
8 Julai 2013, 6.18 Petang.